Excerpt from The Screenplay “Fatwa Pujangga”, 1996.
Seketika kemudian, Pak Samad berjalan merapati para pelajarnya dan duduk bersila di hadapan mereka. Mereka kemudian menjadikan itu satu semi bulatan.
PAK SAMAD
Anda pernah baca novel saya…
Para pelajar itu menjawab sudah…
PAK SAMAD
Tidak enak bukan ?
Para pelajar ketawa.
PAK SAMAD
Saya hanya novelis tua yang ketandusan bakat
yang anda ada…. anda lebih hebat dari saya…
naskah Encik Zuhairi… lakonlayarnya lebih
hebat dari saya…
Zuher memerhati approach Pak Samad.
PAK SAMAD
Biar saya ceritakan kepada anda tentang hidup
saya yang serba tidak menarik dan kekurangan
ini… sudi mendengarnya…
Semua menjawab “SUDI”
PAK SAMAD
Tapi tidak menarik… saya tidak salahkan anda
jika ada yang tertidur nanti… baiklah… anda
kenal Pak Sako ?
Ada yang menjawab kenal.
PAK SAMAD
Anda kenal Ahmad Boestaman…
Begitu juga jawapan mereka.
PAK SAMAD
Pak Aminuddin Baki…
Begitu juga jawapan mereka…
PAK SAMAD
Itu semua orang muda yang hebat dan perkasa
di zaman saya anak muda seperti anda… mereka
bagus… baiklah… sekarang saya ceritakan tentang
anak muda bernama Samad… orang panggil Mad
Kontot… sebab saya dulu kecil molek…
Para pelajar ketawa.
PAK SAMAD
Pernahkah anda dengar, baca atau lihat karya
Uda Dan Dara…
Para pelajar menjawab pernah….
PAK SAMAD
Tahu pengarangnya…
Ada yang menjawab tahu dan ramai juga yang senyap.
PAK SAMAD
Baiklah… satu ketika dulu… Mad Kontot ini
ibarat Uda… pernah bertunang dengan gadis
pilihannya di sebuah perkampungan terpinggir…
Waktu itu saya muda belia… mudah jatuh cinta…
gadis itu saya katakan Dara sahaja namanya…
Beberapa purnama sebelum berkahwin… seorang
tokoh Inggeris telah tiba di Tanah Melayu membawa
sebuah dokumen penting bernama Malayan Union,
Tokoh itu bernama Harold MacMichael… beliau
telah mengadap Sultan – Sultan Melayu dan
memaksa mereka menandatangani gagasan tersebut.
Buat pertama kalinya, rakyat Melayu satu bumi
Melayu ini merasa terancam dan terhina dengan
begitu hebat sekali… maka… mereka mula berkumpul
dan berbincang dan berdemonstrasi hingga lahirlah
tokoh – tokoh Melayu yang terkemuka… Uda… waktu
itu, tiba – tiba merasakan bahawa rupa – rupanya
ada perjuangan yang lebih hebat dari perjuangan
membawa Dara ke ranjang…
Para pelajarnya gelak.
PAK SAMAD
Iaitu… perjuangan menentang Malayan Union…
di ambang pernikahannya, Uda telah mengayuh
basikalnya ke pekan terdekat dan mengikut
demonstrasi di situ dan menuju menaiki
keretapi untuk ke Kuala Lumpur… di situ
satu perhimpunan raksaksa akan di adakan…
di Padang Kelab Selangor.
Zuher dengan serius cuba menangkap tiap ayat yang dilafazkan oleh Pak Samad. Dia tahu Pak Samad mempunyai maksud yang tersirat disebalik cerita itu.
PAK SAMAD
Uda begitu taksub menyaksikan bangsanya
bersatu, Uda begitu gembira, Uda merasakan
bangsanya kini bangsa pencipta sejarah… akibatnya
Uda terabai tanggungjawab untuk pulang dihari
perkahwinannya dan terlepas peluang menikmati
Dara diranjang kerana malam itu Uda tidur kesejukan
di tepi padang itu. Uda pulang seminggu kemudian…
hati Uda berderai seketika bila dapati Dara sudah
dinikahkan oleh keluarganya dengan teman Uda… kerana
sangka mereka Uda telah lari ke Kuala Lumpur. Dara
dinikahkan juga kerana keluarganya takut malu… malu
jika – jika tanggapan masyarakat Dara sudah ditebuk
Uda dan ditinggalkan.
Pak Samad diam seketika. Semua pelajar diam. Zuher turut diam.
PAK SAMAD
Anda fikir Uda kecewa ? Tentu Uda kecewa…
tapi Uda tidak mahu menerima penyesalan… akhirnya
Uda membuat keputusan tinggalkan kampungnya,
Uda merantau ke Singapura dan bekerja dengan
sebuah syarikat akhbar kecil di sana. Uda tidak
menyesal walaupun Uda kecewa. Kata Uda… Dara
memang bukan miliknya, sebab itulah Dara tidak
mungkin dimilikinya… tetapi bumi Melayu ini
milik Uda dan Uda akan terus berusaha memilikinya
dari tangan penjajah.
Pak Samad diam. Dia menoleh ke arah Zuher.
PAK SAMAD
Uda percaya, apa yang bukan miliknya tidak
akan jadi miliknya walau puas dia mencuba,
apa yang menjadi miliknya akan tetap menjadi miliknya
walau dia terpaksa gadaikan apa sahaja yang di
milikinya, dan hari ini Uda bersyukur, kerana
sehabis – habisnya, Uda hanya mampu mendapat
20 orang anak itupun jika Uda kuat batinnya dan Dara
berupaya menghadapinya… tetapi hari ini… kekecewaan
Uda yang membawa Uda ke Singapura menjadikan
Uda seorang novelis yang karyanya dibaca setiap
hari dan masa di serantau bumi Uda ini. Habuannya
lebih dari apa yang mungkin dimilikinya bersama Dara.
Zuher termenung mendengar kata – kata Pak Samad.
Syed Azidi Syed Abdul Aziz, Kuala Lumpur 1996
- Dicopet dari http://gaharuemas.wordpress.com/page/3/
0 comments:
Post a Comment